Sunday, December 22, 2019

Langkah-Langkah Menarik Minat Ibu Bapa Hadir Dalam Program Hari Terbuka

KARANGAN CEMERLANG SPM

               Pada era globalisasi dan modenisasi ini, usaha memperkasakan program ibu bapa dan komuniti serta sarana sekolah sangat relevan kepada dunia pendidikan. Hari Terbuka dapat dikonotasikan sebagai hari pertemuan antara ibu bapa atau penjaga dengan guru-guru di sekolah. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Hari Terbuka sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana Hari Terbuka akan diadakan setiap tahun. Program Hari Terbuka ini sudah menjadi program tahunan yang terdapat dalam takwim setiap sekolah. Pada hari tersebut juga merupakan peluang keemasan kepada ibu bapa untuk mengetahui prestasi anak masing-masing. Selain prestasi akademik, prestasi kokurikulum dan sahsiah murid turut menjadi agenda penting perbincangan guru dan ibu bapa. Ibu bapa akan cuba sedaya upaya meluangkan masa untuk hadir ke program ini. Para ibu bapa akan membawa anak-anak bertemu dengan guru tingkatan bagi membincanhkan apa-apa juga hal yang berkaitan persekolah anak-anak mereka. Hari Terbuka akan diadakan di dalam kelas murid berkenaan. Ibu bapa boleh melawat dan melihat suasana tempat anak-anak mereka belajar ibarat sambil menyelam minum air. Selalunya pihak sekolah pula akan mengadakan Hari Terbuka pada hari cuti hujung minggu agar semua ibu bapa dapat meluangkan masa dan hadir ke program berkenaan. Pihak sekolah akan merancang pelbagai program yang berkaitan bagi menarik kehadiran ibu bapa. Minda pemikiran kita sering tertanya-tanya, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menarik ibu bapa hadir ke program Hari Terbuka?. Oleh itu, fokus perbincangan akan dihuraikan dengan lebih terperinci demi kebaikan bersama.

               Pada pemikiran saya yang primer, langkah bagi menarik ibu bapa agar hadir ke program Hari Terbuka sekolah adalah dengan mengadakan hebahan dan promosi secara besar-besaran. Hal ini berlaku demikian kerana kebanyakan ibu bapa sering terlupa tentang program tersebut kerana sibuk mencari rezeki bagi memenuhi tuntutan kos sara hidup yang semakin tinggi. Hal ini terbukti apabila terdapat ibu bapa atau penjaga yang terpaksa melakukan lebih daripada dua jenis pekerjaan pada waktu siang dan malam. Selain itu, terdapat juga anak-anak yang tidak menyampaikan surat jemputan kepada ibu bapa masing-masing. Sikap alpa anak-anak yang menganggap bahawa perkara ini tidak penting sebenarnya boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri. Lantaran itu, hebahan perlulah diakan di semua media sosial yang sesuai.kita sedia maklum bahawa hampir 80 peratus ibu bapa pada zaman dunia tanpa sempadan ini pasti mempunyai akaun di laman sosial. Sebagai contoh, hebahan dalam kumpulan 'whatsapp', 'facebook' atau laman sesawang rasmi sekolah. Peranti sosial yang dimiliki oleh ibu bapa harus digunakan secara optimum demi kebaikkan bersama. Di samping itu, sepanduk atau kain rentang boleh digantung di lokasi yang sesuai untuk pemberitahuan kepada masyarakat sekitar. Hebahan di kawasan umum juga boleh dilakukan seperti di masjid, balai raya dan majlis-majlis keramaian. Implikasi daripada contoh tersebut, ibu bapa akan lebih peka tentang apa-apa program yang diadakan di sekolah anak-anak mereka. Ironinya, ketidakhadiran ibu bapa dalam program ini dapat diminimumkan. Oleh itu, mengadakan hebahan dan promosi secara besar-besaran merupakan langkah bagi menarik ibu bapa agar hadir ke program hari terbuka sekolah.

               Dari skop perbincangan yang berbeza pula, langkah bagi menarik minat ibu bapa agar hadir ke program hari terbuka sekolah ialah pihak sekolah perlulah memilih tempat yang sesuai bagi mengadakan program tersebut. Umum mengetahui bahawa kebanyakan ibu bapa meruapakan warga emas. Mereka sering kali menghadapi masalah jika hendak ke kelas yang kedudukannya di tingkat tiga atau empat bangunan sekolah. Bertitik tolak dari situ, lokasi yang sesuai ialah di dewan atau di kelas tingkat bawah bangunan sekolah. Pihak sekolah juga boleh memikirkan lokasi-lokasi lain yang lebih selesa dan kondusif semasa program diadakan. Bilik darjah juga perlu diceriakan agar lebih sedap mata memandang. Urus setia sama ada dalam kalangan guru atau pengawas sekolah boleh menjadi penunjuk arah ke lokasi bilik darjah. Impak yang mewarnai contoh di atas ialah ibu bapa tentu akan rasa gembira apabila berkunjung ke sekolah bagi menjayakan Hari Terbuka kerana semua perkara telah diuruskan dengan sempurna oleh pihak sekolah. Sebaliknya, jika pihak sekolah menghadapi kekangan bagi isu ini, ibu bapa yang hadir perlulah dibantu dengan sebaik-baiknya apabila ingin ke lokasi berkenaan kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Jelaslah bahawa memilih tempat yang sesuai ialah langkah bagi menarik minat ibu bapa hadir ke program Hari Terbuka.

               Dari minda pemikiran kelas pertama yang lain pula, Hari Terbuka perlu diadakan dalam jangka masa yang lebih panjang. Kondisi ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang datang lebih awal atau terlalu lewat. Hal ini telah mendatangkan masalah kepada pihak sekolah dan ibu bapa itu sendiri. Akhirnya, ibu bapa akan rasa berat hati hendak ke program Hari Terbuka anak mereka. Banyak laporan menunjukkan bahawa ada ibu bapa yang datang terlalu awal sebelum guru-guru sempat bersedia. Manakala kes lain pula, ibu bapa datang selepas tamat waktu bekerja. Guru-guru perlu berbincang dengan ibu bapa jika menghadapi sebarang masalah. Ibu bapa yang tinggal berasingan dengan anak-anak pula perlulah mewakilkan saudara terdekat atau orang yang boleh dipercayai agar dapat hadir ke program Hari Terbuka. Oleh hal yang demikian, pihak sekolah boleh mengadakan jadual yang sesuai kepada guru-guru agar dapat berbincang dengan ibu bapa dalam jangka masa yang lebih panjang. Solusi yang lain pula, Hari Terbuka perlu diadakan pada hari yang kebanyakan ibu bapa tidak bekerja supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera ibarat menarik rambut dalm tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Setiap masalah yang diselesaikan pasti mewujudkan hubungan yang lebih baik antara kedua-dua belah pihak. Sudah terang lagi bersuluh, Hari Terbuka perlu diadakan dalam jangka masa lebih panjang merupakan langkah bagi menarik minat ibu bapa hadir ke program Hari Terbuka sekolah.

               Berdasarkan perspektif yang lain pula, langkah menarik minat ibu bapa agar hadir ke Hari Terbuka sekolah adalah dengan mempelbagaikan acara pada hari berkenaan. Secara empirikalnya, suasana pada hari berkenaan yang tidak menarik menyebabkan ibu bapa tidak berminat untuk hadir ke sekolah. Selain itu, ibu bapa sudah tentu ingin mengetahui lebih banyak perkara berkaitan hal persekolahan anak-anak mereka. Elemen yang boleh diimplimentasikan oleh pihak sekolah ialah pihak sekolah perlu mengadakan Hari Keusahawanan dan Pameran. Melalui aktiviti ini, murid-murid boleh membuka gerai jualan dan pelbagai permainan. Aktiviti ini boleh dijadikan acara keluarga iaitu semua keluarga boleh terlibat dalam setiap aktiviti pada hari tersebut. Pameran yang berkaitan dengan hasil kerja murid juga boleh dipamerkan untuk tatapan ibu bapa. Setiap aktiviti boleh dikenakan bayaran yang berpatutan jika ibu bapa atau anak-anak ingin menyertainya. Secara tidak langsung pihak sekolah akan memperoleh pendapatan sampingan untuk tabung sekolah ibarat sambil menyelam minum air. Ibu bapa tentu akan berasa kagum dengan kesungguhan pihak sekolah menonjolkan bakat anak-anak mereka. Kesannya, bukan sahaja ibu bapa akan hadir pada Hari Terbuka malah semua ahli keluarga sama ada abang, kakak dan adik akan turut hadir bagi manjayakan program ini. Bulan kian terang, bayang kian jelas, inisisatif dan kreativiti pihak sekolah pasti mampu memeriahkan suasana program Hari Terbuka di sekolah masing-masing. Izharnya, mempelbagaikan acara pada Hari Terbuka ialah langkah untuk menarik minat ibu bapa hadir ke program tersebut.

                 Kesimpulannya, semua pihak yang berobligasi perlu memastikan ibu bapa dapat hadir pada Hari Terbuka sekolah. Kepentingan Hari Terbuka memang tidak dapat disangkal lagi. Usaha yang murni ini perlu diteruskan. Oleh itu, semua pihak sama ada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah harus memainkan peranan yang padu lagi jitu bagi menarik ibu bapa hadir ke Hari Terbuka ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Hal ini amat penting kerana segala permasalahan berkaitan dengan pelajar harus menjadi topik perbincangan yang utama. Isu dan permasalahan di sekolah yang kian rencam kini harus diselesaikan bersama-sama. Sekain itu, pendapat atau cadangan pelajar juga perlu diambil kira. Cara berfikir golongan remaja pada masa sekarang kadang kala amat amat kritis dan kreatif. Pelajar ialah aset negara yang amat penting pada masa akan datang. Merekalah pemimpin yang akan mencorakkan hala tuju dan kemajuan negara kita, Malaysia kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Tegaslah bahawa Hari Terbuka merupakan usaha pihak sekolah ke arah meningkatkan prestasi anak-anak. Oleh itu, ibu bapa seharusnya memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan anak-anak mereka berupaya memacu kecemerlangan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment