Sunday, February 02, 2020

Langkah Memupuk Semangat Patriotik- Karangan SPM

         
          Dalam mendepani arus modenisasi tanpa limitasi ini, pelbagai cabaran hidup perlu diharungi oleh setiap strata. Golongan remaja yang kebanyakannya terdiri daripada murid-murid sekolah pastinya menjadi golongan yang penting kerana mereka merupakan tonggak dan aset masa hadapan negara. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan peribahasa yang menunjukkan bahawa golongan muda kini menjadi tunjang peradaban bangsa. Bagi melahirkan negara yang mampu bersaing di persada dunia, semangat patriotik haruslah dipupuk dalam diri seseorang sejak di bangku sekolah. Semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan negara. Hal ini sering diperkatakan kerana generasi muda terutamanya murid sekolah kurang memiliki semangat patriotik kerana mereka tidak merasai kesusahan hidup semasa zaman penjajahan. Semangat patriotik perlu dipupuk bagi menjamin perpaduan kaum dan mengukuhkan jati diri unggul ke arah mengekalkan keamanan serta kemerdekaan negara. Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid sekolah.

          Langkah prima untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid sekolah adalah dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah. Hal ini demikian kerana, tempat-tempat bersejarah pasti mempunyai coretan kenangan yang kaya dengan pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh dihayati oleh murid sekolah. Oleh hal yang demikian, tinggalan sejarah yang berharga wajarlah dipelihara oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Semasa lawatan diadakan yang dianjurkan oleh pihak sekolah, murid-murid akan berpeluang untuk melihat sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah. Sebagai contohnya, lawatan ke Kota A Famosa di Melaka dan Muzium Negara membolehkan  murid-murid mendapat pelbagai maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tersebut. Keadaan ini akan memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang kesukaran para penduduk tempatan semasa zaman penjajahan. Secara tidak langsung, aktiviti sebegini dapat menyemarakkan semangat cinta akan negara yang mendalam dalam diri murid-murid kerana biar putih tulang, jangan putih mata.

          Selain itu, usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid sekolah adalah dengan menerapkan nilai patriotik dalam mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran Sejarah sangat penting kerana mampu menyuntik semangat patriotik melalui pembacaan dan pengajaran guru di dalam bilik darjah. Oleh itu, para guru harus bijak untuk memainkan peranan mereka baik di dalam kelas mahupun luar kelas. Sebagai contohnya, murid boleh melakonkan semula peristiwa menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada pihak British semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran diadakan. Melalui lakonan tersebut, murid-murid akan mengenali tokoh-tokoh yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air. Semua tokoh ini sangat berjasa kerana mereka berusaha membebaskan negara daripada terus dibelenggu oleh penjajah. Selain itu, murid-murid juga dapat menyelami penderitaan dan kesengsaraan penduduk semasa dijajah. Jelaslah bahawa mata pelajaran Sejarah mampu mewujudkan kesedaran dalam diri murid agar sentiasa memelihara kemerdekaan tanah air kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

          Skop perbincangan seterusnya ialah pihak sekolah perlulah menganjurkan sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Pihak sekolah boleh mengadakan hari tersebut mengikut tema, contohnya Sayangi Malaysiaku. Hal ini demikian kerana sambutan kemerdekaan di peringkat sekolah dapat memberikan peluang kepada murid-murid untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang mendorong kepada semangat cinta akan tanah air. Antara aktiviti yang sesuai diadakan semasa sambutan tersebut ialah persembahan pantomin, nyanyian lagu-lagu patriotik, melukis poster, bercerita kisah-kisah sejarah dan mengarang esei. Selain dapat memupuk semangat patriotik, bakat murid-murid juga dapat dicungkil ibarat sambil menyelam minum air. Semua murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat bersama-sama menyaksikan kemeriahan dan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia. Seterusnya, sambutan tersebut dapat mewujudkan persefahaman yang utuh kerana semua kaum di Malaysia memahami budaya serta adat resam kaum yang lain bak mutiara kata tak kenal maka tak cinta. Intihanya, sambutan kemerdekaan di peringkat sekolah mampu memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid.

          Akhirulkalam, pelbagai langkah seharusnya dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid. Usaha-usaha ini perlu dilaksanakan secara progresif, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga agar dapat memberikan impak yang maksimum dalam diri murid-murid. Selain itu, pihak komuniti setempat juga boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi merealisasikan matlamat ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga wajar menerapkan pelbagai nilai murni dan unsur positif ke arah memupuk semangat patriotik dalam semua aktiviti kokurikulum dan kurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana kita dapat melahirkan warganegara yang cinta akan negara dan seterusnya menjadi individu yang berbakti kepada bangsa dan negara


No comments:

Post a Comment