Friday, December 20, 2019

Karangan SPM - Format Menulis Karangan Cemerlang

PENDAHULUAN

Teknik TeSSTT

Te- Tema
S- Sejarah
S- Semasa
T- Tokoh
T- Tanya

Contoh

(Tema) Kebersihan diri boleh diklasifikasikan sebagai kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh setiap individu untuk menjamin kesejahteraan hidup. (Sejarah) Pendidikan tentang pentingnya menjaga kebersihan diri telah ditekankan bermula dari peringkat kanak-kanak lagi seperti perlunya menjaga kebersihan tangan, gigi, rambut dan kuku. Didikan ini biasanya diterapkan oleh ibu bapa secara langsung ataupun tidak langsung. (Semasa) Jika ditinjau dari situasi kini, fokus terhadap kebersihan diri semakin signifikan, sesuai dengan perkembangan serta perubahan gaya hidup masyarakat yang memerlukan tumpuan terhadap aspek penjagaannya secara konsisten. Penjagaan kebersihan diri amat dituntut dan diberikan keutamaan dalam menjalani rutin kehidupan seharian, malah dalam ajaran islam itu sendiri menjustifikasikan aspek kebersihan sebagai sebahagian daripada iman. (Tokoh) Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad turut menegaskan bahawa penjagaan kesihatan yang sempurna mampu melahirkan rakyat yang sihat, seterusnya berupaya meningkatkan produktiviti sesebuah negara. (Tanya) Persoalannya, apakah faedah-faedah yang saya perolehi melalui amalan penjagaan kebersihan diri?.

ISI

Teknik IMBaKUP

I- Isi
M- Mengapa
Ba- Bagaimana
K- Kesan
U- Ungkapan Menarik
P-Penegasan

Contoh

(Isi) Pada pemikiran saya yang dominan, faedah yang saya perolehi melalui amalan penjagaan kebersihan diri ialah saya dapat memastikan kondisi badan dalam keadaan yang sihat. (Mengapa) Hal ini demikian kerana kuman atau bakteria tidak akan menjangkiti seseorang yang peka terhadap penjagaan kebersihan diri. (Bagaimana) Bertitik tolak dari pernyataan di atas, saya perlu mempraktikkan amalan menjaga kebersihan diri kerana kebersihan diri bermua dengan penjagaan dari aspek fizikal. Sebagai misalnya, saya menggosok gigi, mandi, memotong kuku dan sentiasa berpakaian kemas. (Kesan) Impak positif daripada tindakan ini ialah saya akan terhindar daripada penyakit berbahaya seperti penyakit kulit, jangkitan kuman dan batuk yang kronik. Dengan ini, saya dapat memastikan kesihatan diri sentiasa terpelihara bak kata mutiara mencegah lebih baik daripada mengubati.


PENUTUP


Teknik KeCaH

Ke- Kesimpulan
Ca- Cadangan
H- Harapan


Contoh

(Kesimpulan) Sebagai penutup tirai diskusi ini, dapatlah disimpulakn bahawa terdapat pelbagai faedah yang saya perolehi melalui amalan penjagaan kebersihan diri. Antaranya ialah saya dapat memastikan kondisi badan dalam keadaan yang sihat, menjalani aktiviti harian dengan lancar, manjaga penampilan dan imej diri serta menjamin kesejahteraan hidup. (Cadangan) Saya sewajarnya mengimplementasikan aspek penjagaan kebersihan diri dalam kehidupan seharian dan menjadikannya sebagai satu obligasi yang perlu diutamakan. Jika saya berusaha sedaya upaya sudah pasti usaha saya ini akan membuahkan hasil yang diharapkan. (Harapan) Dengan ini, saya mampu menyahut seruan kerajaan agar meletakkan diri saya dalam kalangan generasi muda yang sihat dan aktif seterusnya memacu kemajuan negara di persada dunia.

No comments:

Post a Comment